Haniza Talha (kanan) melawat gerai pameran pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Strata 2019 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 29 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pemaju diarah buat kajian sebelum bina Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 29 OKT: Pemaju yang berhasrat membina Rumah Selangorku diarah membuat kajian terlebih dahulu bagi mengelakkan lambakan unit rumah tidak berjaya dijual.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata antara kajian dilakukan termasuk penetapan harga unit kediaman mengikut lokasi dan jenis rumah yang akan dibina mengikut keluasan tanah.

“Saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mahu harga rumah mampu milik (RMM) diletakkan mengikut lokaliti sudah lama diamalkan di Selangor.

“Anggaran harga RMM di negeri ini ialah antara RM42,000 hingga RM120,000, contohnya di Sabak Bernam, adakah rumah berharga RM120,000 akan laku? Begitu juga jenis kediaman yang dibina, rumah bertingkat atau berstrata sudah pastinya tidak laku di sana kerana tanahnya masih luas.

“Sebenarnya pembinaan RMM atau Rumah Selangorku sudah menitikberatkan banyak aspek sebelum dibina,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Pengurusan Strata 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam di Hotel Concorde di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan berhubung saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meletakkan harga RMM bagi projek baharu di seluruh negara berdasarkan faktor lokaliti dan pendapatan isi rumah di kawasan berkenaan.

Zuraiada berkata, pihaknya dalam proses memberi penjelasan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan kerjasama bagi menetapkan harga rumah berdasarkan dua faktor berkenaan.

Pada masa sama, Haniza berkata Kerajaan Selangor tidak akan bertolak ansur terhadap pemaju yang enggan membuat kajian terlebih dahulu sehingga menyebabkan banyak unit kediaman tidak terjual.

“Mereka sengaja mencari masalah dan selepas tidak laku barulah pada waktu itu mereka (pemaju) meminta supaya harga rumah diturunkan dan sebagainya.

“Justeru, saranan saya supaya kajian ini terus dilakukan bagi membolehkan rakyat mendapat rumah yang baik untuk didiami,” katanya.


Pengarang :