Mohd Shaid Rosli bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor dan pemaju mengadakan mesyuarat berhubung proses menaik taraf Jalan Meru Tambahan pada 25 Oktober lalu. Foto Facebook Mohd Shaid Rosli
ADNSELANGOR

Pemaju digesa selesai laluan Jalan Meru Tambahan akhir Jun 2020

PUNCAK ALAM, 29 OKT: Pemaju yang terbabit dalam projek menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari diberi tempoh sehingga akhir Jun 2020 bagi menyiapkan laluan dari Jalan Meru Tambahan menghala Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh di sini.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, perkara itu diputuskan melalui mesyuarat pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya Kuala Selangor dan lima pemaju terbabit dalam proses menaik taraf jalan berkenaan, pada 25 Oktober lalu.

“Walaupun pemaju meminta sehingga hujung tahun hadapan, namun saya memaklumkan kepada mereka bahawa pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram dan saya sendiri akan membantu mempermudahkan segala urusan berkaitan agensi kerajaan.

“Pemaju meminta tempoh yang lama kerana pembesaran jambatan memerlukan masa untuk kerja-kerja asas.

“Keseluruhan jalan termasuk jambatan akan mempunyai tiga lorong di kiri dan kanan jalan apabila siap kelak,” katanya melalui status di Facebooknya, semalam.

Shaid berkata, pihaknya turut mengarahkan pemaju untuk menyiapkan laluan dari Jalan Meru Tambahan ke Econsave Puncak Alam sebelum 31 Disember tahun ini.

Katanya, ia akan mempunyai dua lorong kiri serta kanan apabila siap nanti.

“Mohon supaya kita semua bersabar sementara proses ini disiapkan sepenuhnya. InshaAllah Bandar Puncak Alam akan lebih maju dan lebih baik infrastrukturnya pada masa akan datang,” katanya.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, projek menaik taraf Laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari yang menelan kos RM114 juta mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan infrastruktur rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dipetik sebagai berkata, projek terbabit memberi faedah kepada penduduk di kawasan Sunway Kayangan, Kayangan Height, Alam Budiman dan penduduk sekitar.

Katanya, skop projek itu membabitkan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang empat kilometer bermula dari Persimpangan Cahaya SPK hingga Persimpangan Jalan Buloh FT 3214, dua jejambat baharu dan kerja pengalihan utiliti sedia ada.


Pengarang :