AGENSISELANGOR

Pemulihan bekalan air wilayah Hulu Langat capai 95 peratus

SHAH ALAM, 14 OKT: Peratus pemulihan akaun pelanggan terjejas ekoran kerosakan sistem elektrik Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat mencapai 95 peratus setakat jam 6.00 petang tadi, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, segala usaha sedang diambil bagi mempercepat pemulihan bekalan di empat lagi kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya.

Katanya, empat kawasan tersebut adalah Balakong, Bandar Sungai Long, Bandar Tun Hussein Onn dan Taman Koperasi Maju Jaya.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh pemulihan ini amatlah dihargai dan pihak kami mohon maaf atas segala kesulitan.

“Bantuan lori-lori tangki air akan terus digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat masih lagi beroperasi sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dilaporkan beberapa kawasan di Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, sekali gus menjejaskan kawasan antaranya Balakong, Bandar Mahkota Cheras, Batu 9-16 Hulu Langat, Sungai Long, Cheras Permai, Taman Megah dan beberapa lagi taman perumahan.

Insiden itu menyebabkan lima pam air mentah tidak dapat beroperasi dan berlaku penyusutan pengeluaran air terawat sebanyak 180 MLD daripada pengeluaran harian sebanyak 470 MLD.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-280 0919 atau 019-281 6793 untuk bantuan kecemasan.


Pengarang :