EXCOSELANGOR

Pencak silat warisan Melayu perlu dipertahan

SHAH ALAM, 8 OKT: Pencak silat perlu dimartabatkan bagi memastikan seni mempertahankan diri warisan Melayu itu tidak pupus ditelan arus pemodenan.

Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, ini berikutan seni silat merupakan salah satu lambang bagi mempertahankan istiadat Melayu, kesetiaan kepada raja dan Bahasa Melayu.

“Kerajaan Negeri harap program ini dikekalkan sebagai acara tahunan kita di bawah 10 teras dasar belia Selangor yang antaranya adalah kebudayaan.

“Kita juga akan dibantu oleh Jabatan Mufti dan istana untuk menilai jenis silat sama ada bersesuaian dan tidak bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Himpunan Perguruan Silat Selangor 2019 di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Antara acara yang diadakan dalam perhimpunan yang berlangsung pada 12 dan 13 Oktober itu nanti termasuk bacaan ikrar taat setia oleh seluruh peserta di hadapan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat merangkap Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Tengku Harun.

Program itu dijangka dihadiri 5,000 hadirin termasuk 500 pesilat daripada 50 perguruan seluruh Selangor.


Pengarang :