AGENDANASIONAL

Pendidikan percuma di universiti kini di peringkat akhir

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Pendidikan kini dalam peringkat akhir mencari mekanisme terbaik bagi pelaksanaan pendidikan percuma di peringkat universiti, kata menterinya Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata kementeriannya akan berusaha untuk memastikan perkara itu dapat direalisasikan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan.

“Untuk pendidikan percuma ini, jika kita lihat di peringkat persekolahan memang sudah tidak dikenakan bayaran yuran pada anak-anak sekolah.

“Yang kita bincang sekarang ini ialah di peringkat universiti, walaupun ada subsidi namun masih terdapat yuran minimum yang perlu mereka bayar,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Maszlee menjelaskan pada masa ini, kerajaan meletakkan keutamaan untuk melangsaikan hutang negara yang begitu banyak ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Sementara itu, Maszlee memaklumkan prestasi deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi tempoh Januari hingga September lalu adalah RM475.6 juta berbanding RM400.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Selain itu prestasi pendeposit SSPN-i Plus, dalam tempoh sama juga menunjukkan trend peningkatan dengan merekodkan RM106 juta berbanding RM86 juta tahun lalu.

“Instrumen pelaburan yang dibolehkan untuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah berbentuk pelaburan jangka pendek dan sederhana di pasaran wang tempatan sahaja,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :