BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Penduduk setuju pindah, projek Jalan Atmosfera diteruskan

KOTA DAMANSARA, 9 OKT: Projek Jalan Atmosfera sepanjang 600 meter di Subang Bestari yang tertangguh pada tahun 2009 disambung semula selepas pemilik lima rumah di atas tanah rizab jalan kerajaan itu setuju mengosongkan kediaman masing-masing.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, projek jalan bernilai RM3.4 juta itu harus diteruskan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan kemalangan yang kerap berlaku di lokasi terbabit.

“Kerajaan Negeri perlu mengutamakan kepentingan lebih 40,000 penduduk di sini berbanding lima keluarga ini tetapi kita masih beri masa mencukupi dan tawaran sewajarnya, jadi tiada isu berbangkit.

“Projek jalan empat lorong menghubungkan Guthrie dan Persiaran Cakerawala ini dimulakan sebaik sahaja penghuni rumah kosongkan unit masing-masing dan dijangka siap sekitar Febuari 2020 yang akan memberi manfaat kepada lebih 40,000 penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan tapak projek berkenaan di Jalan Atmosfera di sini, hari ini.

Izham berkata, projek ini dijalankan oleh pemaju, World Wide Holding Berhad.

Katanya, sebelum ini pemilik salah sebuah kediaman haram itu telah merobohkan struktur miliknya secara sukarela dan sebuah lagi pula telah berpindah, manakala tiga yang lain dalam proses perpindahan.

Katanya, pemilik empat kediaman ditawarkan tapak ganti di Kampung Melayu Subang Tambahan yang terletak lebih kurang lima kilometer dari sini.

Manakala sebuah keluarga lagi ditawarkan pembelian Rumah Selangorku bernilai RM42,000 kepada anaknya berikutan ketua keluarga terbabit bukan warga negara Malaysia.

Selain itu, Lembaga Zakat Selangor turut menghulurkan bantuan rumah transit kepada salah satu keluarga yang layak setelah temuduga dijalankan.


Pengarang :