AGENDANASIONAL

Penerima Rezeki Tani diharap mampu ubah kehidupan

PONTIAN, 28 OKT: Penerima manfaat program Rezeki Tani diharap mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dalam masa tiga tahun melalui bantuan serta ilmu dan kursus yang diberikan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, program itu bertujuan membantu peserta keluar daripada kemiskinan dan meningkatkan pendapatan melalui pelbagai projek ekonomi.

Menurut beliau, agensi yang terlibat dalam program itu bukan sahaja akan mencari peserta malah akan memantau perkembangan penerima Rezeki Tani.

Melalui program itu, peserta berpeluang menimba ilmu daripada agensi-agensi berkaitan melalui kursus kemahiran yang boleh membantu dalam mengembangkan perusahaan mereka.

“Sasaran kita dalam tempoh dua tahun ini, kita akan lahirkan 1,000 penerima Rezeki Tani dan Insya-Allah mereka akan dapat keluar daripada B40 dalam jangka masa yang tertentu,” katanya kepada pemberita di Kampung Maju Jaya, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima Rezeki Tani iaitu Hairul Hamidun, 40, yang menjalankan perniagaan air tebu secara kecil-kecilan.

Sumbangan berupa bantuan perniagaan terdiri daripada mesin tebu, kuali, dapur, mesin sejuk beku dan balang air.

Sementara itu, Hairul melahirkan rasa syukur kerana dipilih sebagai penerima bantuan itu.

Beliau yang telah menjalankan perniagaan air tebu bersama isteri, Norhanipah Nordin, 38, turut membuat beberapa kerja seperti mengambil upah memasang komponen barang dari kilang, membersihkan kawasan kebun, menjalankan perkhidmatan menghantar barang dan turut menjadi buruh kasar.

“Dengan bantuan yang diberikan, saya akan cuba mengembangkan perniagaan saya bagi menyara keluarga,” katanya yang mempunyai enam anak berumur lima bulan hingga 16 tahun dengan pendapatan bulanan sebanyak RM600 sebulan.

Pada tahun ini, Jabatan Perikanan telah memilih seramai 50 orang peserta di bawah program Rezeki Tani di Semenanjung Malaysia, yang mana 10 orang dari Johor.

– BERNAMA


Pengarang :