AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penerima subsidi minyak meningkat 8 juta pemandu

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kira-kira 5 juta pemandu daripada golongan berpendapatan sederhana (M40) dijangka turut menerima manfaat menerusi Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah berkenaan merupakan tambahan penerima PSP daripada 2.9 juta penerima daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Mengikut pengumuman bajet (Belanjawan 2020) Jumaat lalu, jika sebelum ini kita gunakan data Bantuan Sara Hidup (BSH) dan 2.9 juta penerima dikenal pasti, apabila dibuka kepada golongan lain termasuk M40, dianggarkan (penerima) menjadi kira-kira lapan juta dengan membabitkan jumlah RM2.2 bilion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu mengenai kesediaan kerajaan untuk melaksanakan inisiatif subsidi petrol bersasar.

Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan kelompok yang tidak tergolong dalam B40 juga boleh menikmati subsidi berkenaan melalui Kad95 yang akan diberikan kepada mereka yang layak – berpendapatan kurang RM4,000, tetapi tidak tersenarai dalam BSH.

Saifuddin Nasution berkata, mekanisme untuk mengenal pasti 5 juta penerima yang layak itu akan dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Tenaga Nasional Bhd.

Menjawab soalan tambahan Dr Yii sama ada nilai subsidi itu akan dinaikkan jika terdapat peningkatan minyak mentah dunia, Saifuddin Nasution berkata, nilai itu akan berubah jika terdapat perubahan iklim ekonomi dunia.

“Ketika membuat perancangan libat urus dengan pemain industri sudah tentu kita menjangkakan kedudukan harga minyak mentah dunia pada ketika itu berada pada US$50 hingga US$60 setong, bertindak daripada panduan itu, apabila berlaku perubahan iklim politik dunia dan berlakunya kenaikan, kerajaan akan melakukan ‘adjustment’ mengikut keadaan ketika itu,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :