BUDAYARENCANA

Pengakuan seorang perompak

Oleh Fadli Zainal Abidin

Aku sering diajukan persoalan mengapa aku menjadi seorang perompak. Hari ini aku akan merungkai semua persoalan itu dengan harapan dunia akan lebih memahami apa yang sebenarnya berada dalam pemikiran aku.

Aku masih ingat sebab mengapa aku merompak untuk julung kalinya belasan tahun dulu. Ketika itu, usia aku masih muda dan jiwa aku masih mentah; tidak ada prinsip hidup hanya tahu mengikut telunjuk sekadar angguk-angguk geleng-geleng bak kata orang. Mangsa pertama aku seorang ahli politik kaya-raya.

Aku benci pada ahli politik kaya yang sering menggunakan kekayaannya sebagai modal menjadikan orang lain membuta-tuli mengikut segala agendanya. Aku masih ingat suatu hari ahli politik tersebut menyampaikan ceramah umum meminta agar penyokongnya turun ke jalanan membantah penghapusan subsidi minyak tanah. Dia berikan seratus ringgit kepada sesiapa sahaja yang menyertai demonstrasi tersebut. Aku melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana penyokongnya berebut-rebut mendapatkan wang yang dia taburkan dari atas pentas ceramah. Ketika itu, aku terfikir kenapalah si bodoh itu tak gunakan duitnya yang banyak itu untuk membantu orang miskin. Namun, pada masa yang sama aku berasa teruja melihat para penyokongnya berebut-rebut mengutip wang kertas yang ditabur oleh ahli politik itu.

Maka, itulah mangsa pertama aku. Habis semua duitnya yang disimpan di rumah aku rompak. Oleh sebab aku tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan duit berjuta-juta itu, maka aku taburkan duit tersebut dari tingkat atas bangunan sebuah parti politik dan ibarat sebuah pesta orang ramai berebut-rebut mengutip wang itu. Kepuasan melihat perilaku mereka membuat aku bertambah teruja untuk meneruskan aktiviti merompak.

Aku perlu berterus-terang bahawa sepanjang berbelas-belas tahun aku menjadi perompak, tidak pernah sekalipun aku merompak dari golongan miskin. Malah, aku tidak merompak dari pasar raya, kedai emas mahupun stesen minyak. Sasaran aku hanyalah rumah ahli politik kaya yang hidup mereka ini semakin lama semakin kaya walaupun bermacam-macam jenis cukai diperkenalkan yang mereka sendiri berkempen membantah cukai-cukai tersebut tetapi pada masa yang sama mengumpul banyak wang yang aku sendiri tidak tahu dari mana mereka perolehi. Oleh sebab tiada siapa yang berani mempersoalkan kekayaan mereka, maka aku berpendapat mereka ini tergolong dalam kelompok BDR iaitu Boleh Dirompak. Jadi kau rasa aku jahat?

Aku dibesarkan di jalanan, tidak berumah dan tidak dipeduli oleh masyarakat mahupun orang politik kecuali ketika musim pengundian tiba. Tetapi bukan kerana kesusahan itu yang mendorong aku menjadi seorang perompak sebaliknya rasa benci pada politikus kaya dan kerana aku lakukan untuk rakyat yang menjadikan aku sebegini. Tapi kau jangan fikir bahawa rakyat bersetuju dengan perbuatan aku ini kerana secara asasnya menerima wang hasil rompakan bukan bermaksud bersetuju dan merelakan perbuatan ini. Walaupun aku merompak duit berjuta-juta dari politikus kaya-raya tetapi aku tidak memilih untuk menikmati hasil kekayaan itu bersendirian. Bahkan aku tidak pun memiliki rumah mewah, kereta import atau kapal persiaran besar. Aku tidak menyimpan duit-duit tersebut di bank pesisir pantai atau melabur pada syarikat filem luar negara mahupun industri minyak tanah. Aku tak mahu menyimpan wang yang banyak ke dalam bank kerana aku benci pada sistem menggunakan wang orang lain untuk menjana keuntungan.

Aku hanya tinggal di flat kos rendah yang aku sewa daripada pihak bandar raya. Jadi, kau mesti tertanya-tanya ke mana aku simpan duit-duit yang aku rompak itu kan? Mari aku jelaskan. Setiap kali aku merompak rumah politikus kaya, hasil duit rompakan itu aku edarkan kepada rakyat jelata. Mekanisme pemberian wang tersebut ada pelbagai tetapi aku tidak akan berkongsi di sini kerana aku takut ia ditiru oleh orang politik. Cukup aku katakan ramai orang gembira bila mengutip duit yang bertaburan di atas jalan. Kegembiraan mereka ini menjadi pembakar semangat untuk aku terus berusaha demi mereka. Aku punya prinsip iaitu duit rompakan harus dikongsi dengan orang lain. Semakin banyak aku berkongsi semakin aku rasa tenang.

Aku fikir setelah belasan tahun menjadi perompak sudah tiba masanya aku bertaubat dan cuci tangan. Tapi jangan risau, aku tak akan sertai mana-mana organisasi atau parti politik untuk memperlihatkan kepada umum bahawa aku sudah bersih dan suci. Satu-satunya tempat yang aku fikir sesuai untuk aku berubah ialah penjara. Maka, suatu hari aku putuskan untuk melakukan rompakan terakhir. Sasaran aku seperti biasa, seorang ahli politik yang kaya-raya. Aku masih ingat rompakan pada malam itu dilakukan sehari sebelum pembentangan belanjawan.

Sejam sebelum belanjawan diumumkan, aku sudah bersedia dengan upacara meraikan wang rompakan. Aku beritahu kepada pihak media supaya berkumpul di luar bangunan sebuah parti politik. Hebahan upacara itu turut aku siarkan melalui media sosial dan nota-nota yang aku edarkan pada orang ramai. Bahkan aku menjemput pihak polis, agensi pengutip cukai, organisasi anti rasuah serta NGO yang menyuarakan hak rakyat untuk sama-sama meraikan upacara ini. Aku mahu rakyat meraikan kejayaan aku yang terakhir. Aku mahu mereka gembira mengutip wang-wang yang bertaburan dan melupakan tentang belanjawan yang setiap tahun cuma sekadar ayat-ayat manis yang diulang-ulang. Dari atas bangunan parti politik tersebut aku lambungkan duit-duit itu penuh rasa puas. Rakyat bertepuk sorak gembira meraikan jutaan duit yang melayang-layang di udara kemudian jatuh ke tanah ibarat daun kering yang gugur dari pokok. Ini hadiah aku untuk rakyat dan aku lakukan semua ini untuk rakyat. Aku ulang, untuk rakyat dan aku sudah bersedia meringkuk dalam penjara.


Pengarang :