Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, (kiri) dan Lim Guan Eng, (dua, kanan) ketika sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penganalisis: PAKATAN adil agih peruntukan usahawan ikut kaum

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pengagihan bantuan kewangan kepada usahawan Cina dan India dalam Belanjawan 2020 dilihat sebagai usaha kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bertindak adil kepada semua kaum di negara ini, kata penganalisis ekonomi.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai ketika berkongsi pandangannya berkata, jumlah pengagihan bantuan itu perlu dilihat berasaskan populasi sesuatu kaum dan bukannya daripada perspektif perkauman.

“Peruntukan mengikut kaum membayangkan bagaimana kerajaan bertindak telus, adil, prihatin dalam pembahagian peruntukan berkenaan,” katanya sambil menambah belanjawan kali ini lebih peka dalam mengambil kira perspektif luas usahawan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2020 semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelbagai kemudahan untuk usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antaranya pinjaman RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina dan pinjaman RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India TEKUN Nasional.

Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain itu, sebanyak RM445 juta diperuntukkan kepada usahawan bumiputera bagi program keusahawanan di bawah TEKUN Nasional, SMECorp, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, Pelaburan Hartanah Bhd dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera.

Barjoyai berkata, beliau agak terkejut dengan keprihatinan kerajaan dalam memberi peruntukan yang agak besar kepada usahawan kecil dan bumiputera dalam belanjawan kali ini.

“Ini sebenarnya dilihat sebagai langkah positif memandangkan ia memberikan semangat dan minat untuk mengimbangi perkembangan dalam pembangunan perniagaan usahawan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), Datuk David Chua berpendapat pengagihan peruntukan kepada setiap kaum menunjukkan kerajaan memberi layanan yang adil dan saksama kepada semua kaum.

“Konsep pengagihan peruntukan kepada setiap kaum dapat mengelakkan sebarang rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat…sebenarnya (peruntukan) sebegini dapat mengukuhkan hubungan silaturahim antara pelbagai kaum,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, beliau berasa teruja apabila melihat banyak insentif diperuntukkan kepada PKS.

“Belanjawan 2020 ini, adalah paling bagus sebab ia memfokuskan pembangunan ekonomi. Menerusi peruntukan ini, kita akan bekerjasama dengan kerajaan dalam menggiatkan lagi industri perusahaan termasuk digital serta operasi perniagaan secara automasi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :