Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penganalisis: Pastikan tiada ketirisan penerima Skim Air Darul Ehsan

SHAH ALAM, 2 OKT: Kerajaan Negeri perlu memastikan tiada ketirisan dalam kalangan penerima Skim Air Darul Ehsan yang akan dikuat kuasa, bermula 1 Mac tahun depan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang–Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, skim yang dilihat mampu membantu golongan sasar di Selangor itu perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.

“Pihak bertanggungjawab perlu memastikan hanya pengguna yang benar–benar layak sahaja menikmati kemudahan ini.

“Tidak sepatutnya ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas bantuan yang bakal disalurkan kelak. Tindakan undang-undang sedia ada dalam negara perlu diambil terhadap mereka yang melanggar sebarang jenis peraturan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Muzaffar berkata, Kerajaan Selangor juga perlu lebih aktif melakukan proses promosi terhadap skim yang hendak dilaksanakan bagi membolehkan kesemua rakyat mengetahuinya dengan lebih baik.

Skim Air Darul Ehsan akan menyasarkan kumpulan penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah, bagi pengguna domestik yang mempunyai meter individu.

Manakala, bagi pengguna di pangsapuri kos rendah yang mempunyai meter pukal, syarat kelayakannya adalah sama, namun permohonan mereka perlulah mendapat pengesahan daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

Skim itu juga akan dapat menyasarkan golongan memerlukan selain menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat di www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan.


Pengarang :