Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
AGENDAJENAYAH

Pengawal keselamatan, penjaga stor didakwa miliki item LTTE

BUTTERWORTH, 29 OKT: Seorang pengawal keselamatan dan penjaga stor masing-masing hari ini didakwa di dua mahkamah sesyen di sini atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan  pengganas Kumpulan Barisan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Tertuduh pengawal keselamatan, M.Pumugan, 29, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim, Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di pekarangan parkir hadapan Pejabat N.S.E Lorry Transport Sdn Bhd Lorong Industri Ringan, Permatang Tinggi, daerah Seberang Perai Tengah di sini pada pukul 3.16 petang , 12 Oktober lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Pumugan didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Juru, Bukit Mertajam di sini pada pukul 4.15 petang, 12 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Yusaini Amer Abdul Karem tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana ditahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan tidak dibenarkan diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam Dr N. Ahilan memohon jaminan dibenarkan ke atas anak guamnya atas alasan tiada rujukan SOSMA dalam pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

“Selain itu, tertuduh menghidap penyakit sawan dan memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi. Penyakit sawan ini boleh menyerang tiba-tiba. Semasa dalam tahanan tertuduh pernah diserang sawan dan tidak diberikan rawatan walaupun telah dimaklumkan kepada pegawai penyiasat. Maka saya menyeru mahkamah membenarkan anak guam saya diberikan jaminan,” katanya

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang penjaga stor, S. Thanagaraj, 26, turut didakwa atas dua pertuduhan sama dan hanya menganggguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia ditahan di bawah SOSMA dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Thanagaraj didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam telefon bimbit di Sky Thommas Food Industries Sdn Bhd . No 1066, Jalan Perindustrian Bukit Minyak 2, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di sini pada pukul 10 pagi, 12 Oktober lepas.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu, yang turut diwakili peguam Ahilan, didakwa melakukan perbuatan sama di No 7, Lorong Sejahtera 3, Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah di sini pada pukul 11 pagi 12 Oktober lepas mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan kes bagi laporan forensik dan serahan dokumen.

– BERNAMA


Pengarang :