AGENDANASIONAL

Penguat kuasa DBKL mesti jadi benteng integriti

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti menjadi benteng integriti dan kejujuran dalam menguatkuasakan undang-undang demi kesejahteraan negara serta rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata tindakan itu selari dengan inspirasi kerajaan yang mahukan penjawat awam mempunyai integriti terhadap tugas yang diberikan melalui pelaksanaan kerja yang penuh berhemah dan berintegriti.

“Saya ingin mengingatkan bahawa pihak penguat kuasa diamanahkan untuk melaksanakan undang-undang dan ini akan hanya dapat diterima dan dihormati warga Kuala Lumpur kalau penguat kuasa sendiri mengikuti undang-undang dan mempertahankan intergiti dalam menjalankan tugas mereka.

“Kita tidak mahu mendengar daripada warga bandar raya apa-apa lagi sungutan bahawa adanya unsur rasuah dan sebagainya,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Perbarisan Jubli Emas Sambutan Hari Penguat kuasa DBKL ke-50 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Katanya, apabila unit penguat kuasa dilihat sebagai badan yang berintegriti, maka semua tindakan penguatkuasaan tidak akan dipersoal atau dipertikai lagi.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru setiap lapisan warga kota agar bekerjasama dan membantu penguat kuasa dan DBKL dengan menjadi mata dan telinga kepada penguat kuasa DBKL dengan melapor dan memberi maklumat sebarang kesalahan yang berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab DBKL,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :