Selepas 80 tahun beroperasi kini akhbar tertua di negara ini menutup operasinya bermula hari ini.
AGENDANASIONAL

Pengurusan baharu ambil sebahagian staf Utusan bekerja semula – PM

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Sesetengah petugas Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan diambil semula bekerja di bawah pengurusan baharu Utusan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Utusan akan diuruskan oleh sebuah syarikat baharu. Mengenai petugas yang terlibat, sesetengah mereka akan diambil semula bekerja di bawah Utusan baharu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran solusi bumbung solar pertama oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di negara ini dikenali sebagai M+ oleh PETRONAS.

Dr Mahathir ditanya mengenai akhbar Melayu tertua di negara ini, Utusan Malaysia, yang dihentikan penerbitannya sejak semalam dengan para petugasnya diberitahu agar mengemas barang masing-masing dan meninggalkan pejabat dalam notis yang singkat.

Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir semalam mengeluarkan memorandum yang menyebut syarikat berkenaan akan dihentikan operasi pada 9 Oktober manakala hari terakhir perkhidmatan kepada pekerja ialah 31 Oktober.

Abd Aziz berkata, Lembaga Pengarah Utusan meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim pada 7 Oktober kerana syarikat berkenaan tidak lagi boleh meneruskan perniagaannya.

Penutupan ke atas Utusan, yang ditubuhkan 80 tahun yang lepas, selepas Aurora Mulia Sdn Bhd – sebuah syarikat dikaitkan dengan taikon perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary, memperoleh pemilikan 70 peratus daripada anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu, Mohd Taufek Razak menggesa syarikat itu membayar pampasan dan gaji pekerja tertunggak susulan menamatkan perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, keputusan syarikat yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! memberhentikan operasi berkuat kuasa semalam menyebabkan kebanyakan pekerjanya mengalami kesempitan hidup.

“Kami mahu pihak syarikat bukan sahaja membayar pampasan kepada semua pekerja tetapi juga membayar faedah perkhidmatan lain seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuklah bayaran ganjaran gratuiti, yang tidak dibayar sejak tahun lepas.

“Kami juga mahu syarikat membayar gaji pekerja yang tertunggak selama dua bulan iaitu September dan Oktober. Itu adalah harapan besar kami, apatah lagi dengan keadaan kami yang tiada kerja, apa yang jadi harapan kami adalah duit sebab nak teruskan hidup,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Taufek berkata, satu taklimat kepada semua kakitangan daripada pihak pelikuidasi dijadual diadakan pada 30 Oktober.

“Jadi, buat masa ini, kami semua sedang dalam tempoh bertenang selain menunggu apakah keputusan akhir yang akan dibuat oleh pengurusan lama pada 30 Oktober ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Taufek meletakkan harapan tinggi agar akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! dapat diterbitkan semula selain berharap pengurusan baharu, Aurora Mulia Sdn Bhd dapat mengekalkan kesemua 862 kakitangan syarikat itu.

– BERNAMA


Pengarang :