A Kalaimughilan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang pada 29 Oktober 2019 atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Pengutip besi buruk miliki video kumpulan pengganas dituduh

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Seorang pengutip besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh A. Kalaimughilan, 28, yang memakai baju kemeja bercorak biru putih mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pengakuan tertuduh akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang di sini dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Oktober lepas.

Antara item-item tersebut ialah cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), dan pelekat berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman tidak menawarkan jaminan kerana tahanan di bawah SOSMA tidak dibenarkan diikat jamin.

“Tidak perlu nyatakan SOSMA dalam pertuduhan. SOSMA itu tidak perlu dijelaskan dalam pertuduhan memandangkan SOSMA adalah prosedur perbicaraan dan bukannya kesalahan,” jelasnya.

Tertuduh yang diwakili peguam V. Yoges memohon jaminan dibenarkan ke atas anak guamnya kerana tiada rujukan SOSMA dalam pertuduhan.

“Anak guam saya menjaga bapanya berusia 65 tahun yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana bapanya tinggal bersendirian. Tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan dan perlu ke Hospital Sungai Buloh bagi rawatan susulan akibat kemalangan yang dialaminya April lepas,” katanya.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA


Pengarang :