AGENDANASIONAL

Penjawat awam sedia ada kekal terima faedah, kemudahan skim pencen

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa mereka yang sah dalam perkhidmatan dan mendapat taraf berpencen sebelum ini akan terus kekal menerima faedah serta kemudahan skim pencen.

Beliau berkata faedah persaraan yang dinikmati penjawat awam adalah dilindungi seperti ditetapkan di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan iaitu Perlindungan Hak-hak Pencen dan dikawal selia melalui Akta Pencen 1980 (Akta 227) serta Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239).

“Pemberian faedah persaraan kepada pesara kerajaan merupakan penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan serta jasa penjawat awam sepanjang perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai status terkini cadangan melaksanakan Skim Lantikan Kontrak yang ditambah baik bagi menggantikan Skim Lantikan Tetap dan Berpencen dalam perkhidmatan awam.

Walaupun kerajaan menghadapi cabaran untuk membiayai faedah persaraan berikutan jumlah pesara yang meningkat, Dr Mahathir berkata kerajaan mengambil langkah mengkaji beberapa mekanisme baharu bagi memastikan bebanan kerajaan dapat dikurangkan dan penjawat awam tidak rugi selepas pencen.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sememangnya berhasrat untuk melanjutkan Skim Lantikan Tetap dan Berpencen, bagaimanapun kutipan cukai yang diperoleh negara tidak mencukupi bagi membiayai kos persaraan yang semakin tinggi.

Pada masa sama, kerajaan juga menyedari tentang masalah pengangguran yang meningkat dalam kalangan siswazah yang telah menamatkan pengajian di universiti di negara ini berikutan dengan langkah kerajaan melanjutkan usia persaraan kepada 60 tahun sebelum ini, katanya.

“Memang benar disebabkan usia persaraan dilanjutkan ia bermakna kekosongan berkurangan dan kita tidak dapat mengambil pekerja baharu dalam kerajaan, dengan sendirinya kita lihat pengangguran bertambah.

“Tetapi kita ingin lihat penganggur ini bekerja sama ada di sektor swasta atau membuka perusahaan untuk membiayai kehidupan mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak mampu menawarkan pekerjaan kepada semua orang Melayu dalam sektor perkhidmatan awam walaupun ia merupakan satu dasar yang telah ditetapkan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Beliau menjawab soalan tambahan yang diajukan oleh Ismail yang bertanyakan tentang langkah kerajaan untuk memastikan kadar pengangguran berkurangan selain kaedah untuk memastikan nasib 50,000 pekerja kontrak dalam sektor perkhidmatan awam dapat diserapkan secara tetap.

-BERNAMA


Pengarang :