AGENDAGLOBAL

Penolong Ketua Kampung di Yala maut ditembak

YALA (Selatan Thailand), 3 OKT: Seorang penolong ketua kampung maut manakala adik perempuannya cedera dalam satu kejadian tembak di Yala, selatan Thailand, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.10 petang (waktu tempatan), Melah Cheksoh, 46, meninggal dunia di hospital manakala adiknya yang merupakan seorang anggota sukarelawan, 45, kini dilaporkan dalam keadaan kritkal dan menerima rawatan di Hospital Yala.

Ketika kejadian, Melah yang merupakan Penolong Ketua Kampung Bahagian Keselamatan Kg Sa-et dan adiknya sedang menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri mesyuarat bulanan di Pejabat Daerah Krong Pinang.

Penolong Ketua Polis Krong Pinang, Kapt Polis Yachanan Wuti berkata, mangsa dipercayai ditembak individu-individu yang bersembunyi dalam ladang getah.

“Polis menemui enam kelongsong peluru di tempat kejadian. Polis masih menyiasat motif kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.

-BERNAMA


Pengarang :