Michelle Ng Mei Sze tengah) bergambar bersama kakitangan Rapid Bus Sdn Bhd selepas melancarkan perkhidmatan percubaan Bas Perantara Aliran Transit Ringan (LRT) laluan T792 di di Stesen USJ7, Subang Jaya pada 14 Oktober 2019. MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Penumpang BRT Laluan Sunway catat peningkatan 30 peratus

SUBANG JAYA, 14 OKT: Jumlah penumpang harian perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) di Laluan Sunway merekodkan trend peningkatan pengguna sebanyak 30 peratus setakat ini, kata Michelle Ng Mei Sze.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya berkata, peningkatan itu susulan pengurangan harga tambang sebanyak 20 peratus kepada penumpang yang dilaksanakan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) pada November tahun lalu.

Katanya, hal itu membuktikan kejayaan pengendali perkhidmatan bas berkenaan dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Pengangkutan awam harus menjadi hala tuju masa depan, jadi dengan mobiliti melalui kereta yang semakin meningkat iaitu dari 10 juta perjalanan setiap hari pada 2010 kepada 32 juta perjalanan menjelang 2030, kapasiti jalan akan menjadi semakin tepu.

“Untuk mengatasi masalah trafik, pembinaan atau pelebaran jalan hanya boleh mengurangkan trafik ke sesuatu tahap sahaja kerana kita sering mengejar peningkatan penggunaan kereta.

“Dengan mengambil kira faktor berkenaan, kita memfokuskan usaha untuk meningkatkan kebergantungan terhadap pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan perkhidmatan percubaan Bas Perantara Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan T792, di Hab Stesen USJ 7, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij dan Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria.

Bas 12 meter bagi Laluan T792 itu adalah projek eksperimen selama tiga bulan yang akan bermula dari hab stesen LRT USJ 7 ke Pangsapuri SS19 melalui USJ 3 dan 4 dengan kekerapan 20 minit.

Michelle berkata, pihaknya memberi tumpuan terhadap isu ‘first mile, last mile’ dengan mewujudkan kesalinghubungan melalui laluan pejalan kaki termasuk bas.

“Saya berbesar hati kerana Majlis Perbandaran Subang Jaya melabur dana tahun ini untuk menaik taraf pejalan kaki di sekeliling LRT USJ 7 dan LRT Taipan.

“Selain itu, pendekatan diambil Rapid Bus yang memilih Subang Jaya untuk menjalankan percubaan bas perantara LRT juga harus dipuji memandangkan mereka sedang merancang untuk membuat percubaan bagi menambahbaik perkhidmatan bas perantara ini.

“Kita yakin terdapat sinergi jika percubaan pertama ini dilaksanakan selepas perbincangan bersama perunding dan wakil komuniti Subang Jaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap, perkhidmatan itu akan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk Subang Jaya supaya sistem bas berkenaan dapat diteruskan dengan memperkenalkan lebih banyak laluan.


Pengarang :