AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penuntut IPT perlu patuhi undang-undang – Mahathir

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Penuntut di institusi pengajian tinggi perlu mematuhi prosedur, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan universiti mereka bagi mengelak keadaan kacau bilau, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pelajar bebas untuk menzahirkan pandangan mereka tetapi ia perlu dilakukan di tempat yang sesuai dan tidak mengganggu majlis rasmi.

“Kita ada prosedur, undang-undang dan peraturan tertentu. Kita perlu patuhi undang-undang itu, jika tidak, akan berlaku kacau bilau.

“Mereka boleh berdemonstrasi tetapi ada tempat lain untuk melakukannya. Jangan ganggu majlis yang tertib dengan cuba menunjukkan bahawa kamu ada pandangan tertentu. Kamu boleh menyatakan pandangan itu di tempat lain,” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Pembasmian Kemiskinan: Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu, bersempena Hari Antarabangsa Yayasan Sejahtera 2019, di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas laporan berita tentang tindakan seorang penuntut Universiti Malaya, selepas menerima ijazah dalam majlis konvokesyen universiti itu di sini Isnin lepas, yang menggesa seorang pegawai tertinggi universiti supaya meletak jawatan berikutan ucapannya pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam baru-baru ini.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata, kerajaan tidak seharusnya terlalu campur tangan dalam usaha universiti menangani keadaan itu kerana mereka (universiti) bebas membuat keputusan sendiri.

-BERNAMA


Pengarang :