AGENDANASIONAL

Penyakit jantung iskemik penyumbang utama kematian di Malaysia

PUTRAJAYA, 30 OKT: Sebanyak 172,031 kematian direkodkan pada 2018, dengan 117,387 daripadanya kematian yang disahkan secara perubatan manakala 54,644 kematian tidak disahkan secara perubatan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penyakit jantung iskemik (ischaemic heart diseases) kekal sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,267 atau 15.6 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada 2018.

Berdasarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini, kematian disebabkan penyakit jantung iskemik meningkat 35.3 peratus berbanding 13,503 pada 2017, katanya.

Pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 11.8 peratus diikuti Cerebrovascular diseases atau penyakit serebrovaskular (7.8 peratus), kemalangan kenderaan (3.7 peratus) dan Chronic lower respiratory diseases (2.6 peratus), katanya dalam kenyataan.

“Sebab kematian utama bagi lelaki adalah penyakit jantung iskemik dengan 12,510 kematian atau 17.8 peratus daripada jumlah kematian lelaki pada 2018, manakala sebab kematian utama bagi perempuan adalah Pneumonia dengan 6,033 kematian (12.8 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata penyakit jantung iskemik adalah sebab kematian utama di 90 daerah pentadbiran dan peratusan tertinggi dicatatkan di daerah Petaling, Selangor iaitu 16.3 peratus.

Pneumonia pula merupakan sebab kematian utama di 48 daerah pentadbiran dengan peratusan tertinggi dicatatkan oleh Kota Setar, Kedah iaitu 17.8 peratus, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :