AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peralihan siaran TV Digital lancar, semua aduan dapat diselesai

CYBERJAYA, 19 OKT: Peralihan kepada siaran TV Digital myFreeview daripada siaran televisyen analog berjalan lancar dan kesemua aduan pengguna dapat diselesaikan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

“Memang betul ada aduan tapi dapat diselesaikan. Kesemua aduan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya ketika ditanya pemberita mengenai aduan berkaitan siaran myFreeview selepas melancarkan Smart School IOT Hackathon Peringkat Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara aduan itu adalah pengguna belum menerima dekoder dan ada pula pengguna yang sudah menerima dekoder tetapi tidak dapat ‘transmission’ yang cukup baik.

Beliau berkata, pengguna boleh menghubungi nombor myFreeview yang diuar-uarkan untuk membuat sebarang aduan berkaitan peralihan siaran TV analog ke digital.

Gobind berkata, proses peralihan daripada siaran TV digital ke analog dijangka siap sepenuhnya pada 31 Oktober ini.

Menurut laporan, peralihan siaran TV analog ke TV Digital myFreeview akan bermula di wilayah Tengah dan Selatan pada 30 September, wilayah Utara dan Timur pada 14 Oktober, manakala Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober.

Ditanya mengenai isu nombor akaun bank penerima Program Subsidi Petrol (PSP) yang terdedah di portal rasmi PSP, Gobind berkata, beliau sudah meminta laporan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak yang berkaitan.

“Jadi sehingga saya tengok laporan itu saya tidak akan beri sebarang komen,” katanya.

Sebuah laman web berkaitan teknologi baru-baru ini menunjukkan kelemahan portal PSP kerana membolehkan pengguna melihat nombor akaun bank setiap penerima lain pada kod sumber di halaman carian. KPDNHEP kemudiannya mengumumkan beberapa langkah proaktif diambil untuk melindungi data penerima.

Terdahulu dalam ucapan pelancaran bagi Smart School IOT Hackathon, Gobind berkata, beliau berharap program sedemikian dapat menyemarakkan lagi daya kreativiti dan inovasi, mempertingkatkan keupayaan menyelesaikan masalah dan mengasahkan ketajaman pemikiran kritikal dalam kalangan peserta.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia amat menitikberatkan kepentingan para pelajar memperoleh ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan digital, katanya.

“Oleh itu, pelbagai usaha harus dilaksanakan sebagai persiapan untuk anak-anak kita di alam pekerjaan di masa hadapan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :