Yang DiPertua Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Selangor, Ismail Zamry Ibrahim menyerahkan keris kepada Khairuddin Othman sempena sidang media Himpunan Perguruan Silat Selangor 2019 pada 8 Oktober 2019.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Perhimpunan Perguruan Silat Selangor himpun lebih 500 pesilat tempatan

SHAH ALAM, 8 OKT: Lebih 500 pesilat daripada 50 perguruan bakal menyertai Perhimpunan Perguruan Seni Silat Melayu Selangor di Istana Bandar, Banting pada 12 dan 13 Oktober.

Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, penganjurannya bertujuan memupuk minat, kesedaran dan penglibatan anak muda dalam memartabatkan warisan seni silat supaya tidak ditelan zaman.

Katanya, perhimpunan yang julung kali dianjurkan itu akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Dianggarkan 5,000 pengunjung dijangka hadir termasuk 2,000 dalam kenduri rakyat pada 13 Oktober nanti dan kita menerima banyak penyertaan daripada pelbagai persatuan silat untuk hadir memberikan sokongan serta berminat membuat demo dalam program ini.

“Himpunan ini juga menunjukkan kepekaan Kerajaan Negeri yang mengiktiraf perguruan kecil termasuk di kawasan kampung dan manifestasi penglibatan aktif serta kewujudan mereka turut dirasai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Himpunan Perguruan Silat Selangor 2019 di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, program ini juga menjadi landasan terbaik Kerajaan Negeri mendekati masyarakat akar umbi terutamanya golongan belia.

“Palbagai acara menarik diadakan antaranya, acara pembukaan gelanggang setiap perguruan, seni silat tari, silat tempur dan persembahan gendang dan serunai.

“Turut diadakan kenduri rakyat, pameran tanjak, senjata tradisional, demontrasi busana Melayu dan reruai pameran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Torism Selangor dan HIJRAH,” katanya.

Katanya, kejayaan program ini adalah pemangkin untuk menjadikannya program tahunan di masa akan datang.

 


Pengarang :