AGENDANASIONAL

Perkilangan Selangor sumbang RM3.8 bilion separuh pertama 2019

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Sektor perkilangan Selangor menyumbangkan RM3.8 bilion bagi separuh pertama 2019 berbanding nilai pelaburan langsung asing diluluskan di peringkat nasional bernilai RM49.5 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan Selangor itu lebih sekali ganda berbanding dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, banyak usaha masih perlu dilakukan bagi meningkatkan ekosistem perniagaan dan industri negara.

“Oleh itu, perancangan strategik kami diteruskan dengan usaha yang dipertingkatkan bagi memenuhi peluang dan cabaran Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor sempena Persidangan Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2019 Ketiga di Pusat Perdagangan Antarabangsa & Pameran Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut mempelawa Selangor menjalin kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Halal di bawah kementeriannya bagi merangka pelan strategik pada masa hadapan.

Katanya, ini kerana sektor halal berpotensi besar berkembang pesat dengan penghasilan produk bermutu tinggi dan memenuhi keperluan syariah yang mempunyai permintaan tinggi di seluruh dunia.

Beliau berkata, industri teknologi dan berimpak tinggi yang menjadi keutamaan mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan lagi perkembangan industri negara.

“Kerajaan mengenal pasti beberapa sektor industri yang boleh dibangunkan, antaranya aero angkasa, pertanian berteknologi tinggi, data raya, kecerdikan tiruan, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau,” katanya.


Pengarang :