Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2019. – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019.

Hadir bersama anakandanya, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah kira-kira pukul 2.45 petang, ketibaan Tunku Azizah di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) disambut dengan alunan muzik tradisional gamelan.

Baginda memasuki Dewan dengan diiringi isteri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datin Rabithah Zakariah, dan disajikan dengan persembahan tarian ‘selamat datang’ oleh artis budaya DBKL.

Tunku Azizah kemudiannya berkenan merasmikan festival itu dengan meletakan tangan baginda ke atas skrin sebagai gimik pelancaran.

“Sebagai seorang yang memartabatkan warisan tradisional, sudah tentu saya akan hadir (ke festival ini) kerana begitu minat dengan kraf dan warisan,” titah baginda ketika merasmikan festival berkenaan.

Tunku Azizah juga berkenan menerima persembahan tengkolok berwarna hitam bertekad benang emas yang direka khas sebagai tanda menjunjung kasih di atas kehadiran baginda ke majlis hari ini.

Terdahulu, Rabithah menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih mengalu alukan kehadiran baginda.

Selepas menyaksikan peragaan busana selama 30 minit, Tunku Azizah kemudiannya berkenan mencemar duli selama hampir setengah jam melawat ruang-ruang pameran yang memaparkan rekaan-rekaan hasil batik, songket serta hiasan tradisional, sebelum berangkat pulang.

Festival hari ini merupakan satu pertandingan fesyen yang berpaksikan kepada pakaian busana tradisional Malaysia dengan antaranya bertujuan untuk mengangkat, memartabatkan serta mengekalkan keunikan tradisi busana yang pelbagai dan unik.

Festival yang dicetuskan penganjurannya pada tahun 2017 itu dianjurkan bersama pereka fesyen Dwen Raha, bersempena Program Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur 2019 (KUL Design Month 2019) untuk edisi tahun ini, dan acaranya dimeriahkan dengan kehadiran pereka tersohor dan ikon dalam bidang peragaan fesyen seperti Hatta Dolmat, Man Kajang, Shanell Harun, Shazreeyana Syukri dan Sanjeda John.

-BERNAMA


Pengarang :