Amirudin Shari bersalam dengan penjawat awam ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2020 buat Selangor capai negeri pintar

SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri menyambut baik peruntukan pembangunan khusus untuk Selangor seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, 11 Oktober lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, agihan peruntukan yang dikhususkan kepada Selangor perlu dilaksanakan sebaik mungkin oleh semua penjawat awam supaya dapat diselarikan dengan hasrat ke arah negeri pintar pada 2025.

“Kita menyambut baik inisiatif-inisiatif yang dikemukakan termasuk peruntukan sebanyak RM2.16 bilion untuk usaha Kerajaan dan pihak swasta dalam melestarikan National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP) yang sangat menguntungkan Negeri Selangor kerana menjelang tahun 2022 dijangkakan 100 peratus daripada capaian internet kita akan merebak ke seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapatama Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor Dihoskan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di Auditorium Dewan Jubli Perak, hari ini.

Penjawat awam melafazkan Ikrar Perkhidmatan Awam dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Katanya, beberapa model inisiatif yang dahulunya diperkenalkan di Selangor seperti Skim Peduli Sihat dan Skim Smart Sewa terus dilaksanakan di peringkat Persekutuan menerusi program Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKA B40) dan Rent To Own (Sewa untuk Memiliki).

Selain itu, Amirudin turut gembira dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan untuk pembangunan Pulau Carey dan Koridor Logistik Klang serta peruntukan RM50 juta bagi penyelenggaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang.

Dalam Belanjawan 2020, Selangor turut menerima manfaat pembinaan sekolah baharu di Hulu Langat serta sebahagian RM1.6 bilion peruntukan untuk membina dan menaik taraf Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang serta pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang.


Pengarang :