Hasnul Baharuddin (tengah) bersama penerima bantuan ketika Program “Blueprint” Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor Peringkat Daerah Kuala Langat di Dewan Jubli Intan Banting, Kuala Langat pada 15 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan gembira dapat bantuan

BANTING, 15 OKT: Penerima program bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di Kuala Langat menzahirkan kesyukuran selepas menerima peralatan untuk menjalankan perniagaan.

Salah seorang penerima, Goh Moi Yong, 52, berkata beliau akan memanfaatkan motosikal roda tiga yang diterima dan tekad memperluas perniagaan bahan pemprosesan makanan laut yang dijual di pasar pagi sekitar Tanjong Sepat.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memilih saya selaku penerima dan berharap semoga program ini diteruskan pada masa akan datang.

“Motosikal ini memudahkan pergerakan saya untuk berulang alik setiap hari dari rumah ke pasar pagi,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor peringkat Kuala Langat di Dewan Jubli Intan Kampung Olak Lempit Banting, di sini hari ini.

Shafinazreen Norhafizah Suhaimi, 34, pula bersyukur menerima peralatan mesin pengadun tepung dan peti ais beku yang akan memudahkannya memproses makanan sejuk beku seperti karipap serta samosa.

“Saya bersyukur dengan bantuan diberikan ini sekali gus dapat menambah kuantiti makanan sejuk beku yang diusahakan sejak 2015,” katanya yang menetap di Kuala Langat.

Sementara itu, S Janet, 52, berkata kekurangan kelengkapan mesin jahit menyukarkannya untuk menerima tempahan.

“Namun, selepas Kerajaan Negeri meluluskan permohonan memberi mesin jahit lurus ini saya tekad mahu mengambil tempahan lagi dan berharap perniagaan semakin berkembang,” katanya yang boleh menjahit pakaian tradisional India.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor yang dilancarkan sejak 2008 bertujuan menyalurkan bantuan peralatan atau mesin diperlukan berdasarkan perusahaan dan perniagaan yang sedang dijalankan.


Pengarang :