SELANGOR

Pesta jaringan di minggu kedua SCL2019

SHAH ALAM, 8 OKT: Minggu kedua Liga Juara-Juara Selangor (SCL2019) menyaksikan kebangkitan beberapa pasukan daripada persembahan hambar di minggu pertama dengan berpesta gol.

Antaranya, SA Klasiko FC berjaya membenam Sg Lang Baru Up FC 5-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya pada 6 Oktober lalu.

Gol-gol dijaringkan oleh Wong Kah Heng pada minit kelapan dan 68, Nabilah Khan (m24), Azmin Samsudin (m65) dan Zarif Azhar (m70).

Pemain SA Klasiko FC, Amir Safuan turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Turut menunjukkan kebangkitan daripada perlawanan pertama, NPNG Damansara Damai FC selepas membelasah Subang Protap II FC 4-0 pada 5 Oktober di venue sama.

Umar Etudayeabdulmajid yang terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan meledak hatrick dan Asare Patrick menambah lagi luka Subang Protap FC dengan satu gol.

Turut menang bergaya dengan jaringan selesa, Kuala Selangor Batu dua FC apabila membelasah Gombak RRM FC Ultimate 4-0 dan Cyberjaya Teleflow FC mengatasi SA AZE FC 3-0.

Bagaimanapun malang buat pasukan Belia Selangor apabila gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tumbang di tangan Bukit Kapar FC 0-2.

Sementara itu juara bertahan, Puchong Fuerza Gamestop FC terus kempunan meraih kemenangan pertama apabila diikat 1-1 oleh SA PIB FC.


Pengarang :