ADNSELANGOR

Petani kena muafakat hapus ulat perosak padi

PERMATANG, 15 OKT: Petani dinasihat bermuafakat dalam usaha menghapuskan ulat pengorek batang yang dikesan menyerang sawah padi di Kampung Kunci Air Buang, Tanjung Karang sejak kebelakangan ini.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, serangan ulat tersebut semakin berleluasa sejak memasuki fasa penuaian pada minggu ini.

Katanya, beliau difahamkan pelbagai langkah dilakukan petani untuk mengawal dan menghapuskan serangan ulat itu namun belum berhasil sepenuhnya.

“Jabatan Pertanian memaklumkan kepada saya bahawa antara kemungkinan serangan ulat perosak ini adalah disebabkan populasinya yang tidak dihapuskan sepenuhnya pada musim menuai padi yang lepas.

“Malah, pengurusan jerami dan penyediaan sawah yang kurang sempurna juga boleh menjadi salah satu faktor populasi ulat ini terus membiak dan menyerang sawah pada musim ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Justeru, Rozana berkata, petani perlu membuat pengurusan sawah secara seragam seperti penanaman padi mengikut jadual yang sepatutnya tanpa ada mana-mana lot tertinggal dan pengawalan menghapuskan ulat itu secara serentak.

“Saya difahamkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dan Jabatan Pertanian turut membincangkan isu serangan ulat ini dan mereka sedang merangka gerak kerja yang perlu diambil terutamanya persediaan untuk musim penanaman yang seterusnya,” katanya.

Terdahulu, Rozana turut merasmikan Hari Ladang Sawah Sempadan 2019 yang berlangsung dua hari bermula 14 Oktober bertempat di Dewan Komuniti Kunci Air Buang Sawah Sempadan, baru-baru ini.


Pengarang :