AGENDA NASIONAL

PH terus perjuang perpaduan rakyat, tolak politik kebencian

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus memperjuangkan perpaduan rakyat dan menolak politik berasaskan kebencian bagi menjadikan Malaysia yang lebih baik, makmur, bersih serta inklusif.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan bersama hari ini menegaskan PH komited menjaga perpaduan rakyat tanpa mengira agama, kaum, wilayah dan usia dalam usaha untuk melihat Malaysia yang lebih baik dan maju meskipun ada pihak cuba mencemarkan keharmonian etnik di Malaysia serta memainkan isu perkauman menjelang pilihan raya kecil Tanjung Piai, 16 November depan.

“Mandat yang diberikan rakyat untuk melihat Malaysia lebih baik, makmur, bersih, dan inklusif akan terus diperjuangkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Sebarang usaha mengganggu perpaduan nasional akan melambatkan agenda pembangunan ekonomi Malaysia dan akan mengembalikan kerajaan kleptokrasi mentadbir anak cucu kita pada masa hadapan,” menurut kenyataan Majlis Setiausaha PH itu.

Majlis Setiausaha PH dianggotai Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung – KEADILAN (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), BERSATU (Datuk Marzuki Yahya), AMANAH (Datuk Anuar Tahir) dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Majlis Setiausaha itu turut menyatakan sokongan penuh Belanjawan 2020 bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Bersama ke Arah Kemakmuran Bersama” yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Oktober, yang menzahirkan komitmen kerajaan PH memacu pembangunan ekonomi Malaysia berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Tindakan sesetengah pihak mencemarkan keharmonian kaum ketika kerajaan berusaha menyediakan Belanjawan 2020 bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu penting, menurut kenyataan itu.

“Usaha tidak murni ini hanyalah bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu yang lebih penting, iaitu meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat berbanding isu perkauman yang hanya mengundang kepada perbalahan emosi dan suasana tidak harmoni antara etnik.

“Isu perkauman ini kian rancak apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semakin dekat,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :