AGENSISELANGOR

Piala Malaysia: Selangor sedia lakar kejutan ke final

SHAH ALAM, 17 OKT: Selangor bersedia untuk mencari bekalan gol selesa pada aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu ini dengan misi memburu tempat ke perlawanan akhir.

Jurulatihnya, B Sathianathan berkata, JDT bukan satu lawan yang mudah tambahan beraksi di laman sendiri tetapi beliau percaya pemainnya mampu untuk memberikan saingan terbaik kali ini.

Beliau menyifatkan perlawanan peringkat separuh akhir umpama perlawanan akhir dan semua pemain perlu memberikan persembahan melebihi 100 peratus.

“Pemain yang diturunkan perlu memberikan lebih 100 peratus dalam perlawanan ini. Tidak mustahil untuk kita mencipta kejutan jika beraksi dengan baik.

“Saya lihat dalam perlawanan ini, kita tidak boleh bolos melebihi satu gol kerana kita tahu kekuatan mereka.

“Jika lebih daripada satu (gol bolos) sakit, tetapi masih ada peluang. Saya lihat pemain kita tenang dengan perlawanan ini kerana bukan mudah bertemu pasukan kuat,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, keadaan cuaca tidak menentu sedikit sebanyak mengganggu sesi latihan Selangor tetapi beliau enggan menjadikannya sebagai alasan untuk pasukannya melakar kejutan walaupun beberapa tonggak utama masih belum cergas sepenuhnya.

Perlawanan separuh akhir pertama bakal berlangsung Sabtu ini di Larkin manakala aksi timbal balik bakal berlangsung 26 Oktober hadapan di Stadium Shah Alam.

Satu lagi perlawanan separuh akhir bakal menemukan Juara Shopee Piala FA 2019, Kedah menentang Pahang.


Pengarang :