AGENSI SELANGOR

PKNS akan jalankan kajian terperinci berhubung kesan retakan

CYBERJAYA, 21 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menjalankan kajian terperinci berhubung kesan retakan yang berlaku di Rumah Pangsa PKNS Jalan Tun Razak, Kampung Baru, Kuala Lumpur ekoran kejadian tanah mendap selepas hujan lebat melanda di kawasan itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya sudah mengarahkan PKNS supaya turun ke lokasi kejadian bagi membuat kajian sama ada keretakan itu membabitkan bahagian permukaan atau struktur sehingga mengundang kebimbangan penduduk di sana.

“Kita belum mendapatkan laporannya lagi, tetapi saya sudah mengarahkan PKNS untuk segera turun dan membuat kajian berhubung kesan daripada kejadian itu.

“PKNS akan menanggung kos kajian dan jika ada keperluan pemindahan, kita akan mendapatkan nasihat daripada badan berkaitan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon@Cyberjaya serta Pelancaran Garis Panduan Pembangunan Mampan@Sepang (GPPMS) Aplikasi Pintar i-Sepang, di Cyberview Resort & Spa, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSepang, Mohd Fauzi Mohd Yatim; Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi; Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Shan Abdullah dan Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Tengku Dato’ Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Al Haj.

Terdahulu, 15 keluarga membabitkan 62 penduduk dipindah dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Kg Bharu Jalan Hamzah susulan kejadian tanah mendap yang dikesan lewat petang Khamis.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memanggil Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi memutuskan tahap keselamatan flat berkenaan.


Pengarang :