Selangorkini
AGENSI SELANGOR

PKNS sumbang RM223,630 untuk pembangunan pendidikan Islam Kemboja

PHNOM PENH, 29 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang sebanyak RM223,630 sejak 2014 untuk membiayai pembangunan pendidikan Islam Kemboja.

Pengurus Besar Pembangunan Strategiknya, Suhaimi Kasdom berkata, antara sumbangan PKNS adalah membiayai pencetakan 12,000 naskhah buku teks pendidikan Islam dan penghantaran bernilai RM58,480 pada 2014.

“Pada tahun berikutnya, RM50,000 disumbangkan kepada Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membeli peralatan Sekolah Kebangsaan Kemboja berjumlah RM20,000 dan baki RM30,000 bagi menambah bilangan buku teks Bahasa Khmer yang dicetak pada tahun sebelumnya.

“Manakala pada 2017, PKNS telah menyumbangkan RM30,000 bagi meneruskan pencetakan buku teks Pendidikan Islam Bahasa Khmer dan pada tahun lalu sebanyak RM30,150 bagi menampung perbelanjaan pembangunan Sistem Pendidikan Islam Kemboja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sekolah Rendah Agama Kemboja (PSRAK) 2019 dan Pelancaran Buku Teks Sirah Sumbangan PKNS di Masjid Ammar bin Yasir, KM9, Crang Comreh di sini, semalam.

Suhaimi berkata, Ketua Pegawai Operasi PKNS turut mengetuai delegasi 21 kakitangan anak syarikat Kerajaan Negeri itu untuk meninjau sendiri perkembangan hasil sumbangannya di Kemboja pada April lalu.

Katanya, dalam kunjungan itu, PKNS menyampaikan sumbangan berupa peralatan persekolahan kepada murid Madrasah An-Nikmah serta pencetakan 8,000 naskhah buku sirah untuk pelajar Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam berjumlah RM55,000.

Selain PKNS, Lembaga Zakat Selangor juga memainkan peranan besar dengan menghulurkan pelbagai bantuan, antaranya RM55,000 yang diserahkan dalam majlis sama.


Pengarang :