Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM gesa siswa letak integriti bersama fikiran rasional

PUTRAJAYA, 30 OKT: Mahasiswa perlu meletakkan nilai integriti sebaris rasional supaya segala tindakan diambil atas prinsip kebebasan masih di bawah kesopanan, kesusilaan dan norma kebudayaan masyarakat.

Perdana Menteri,  berkata setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh daripada desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain supaya darjat dan kedudukan mahasiswa tidak dipertikai.

“Apabila mahasiswa dilihat sebagai kader atau tunggangan sesuatu kelompok berkepentingan, jati diri serta hormat masyarakat terhadap mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan negara masa depan akan tercalar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2019, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan berusaha memberi ruang kebebasan kepada mahasiswa melalui pelbagai pendekatan oleh Kementerian Pendidikan, namun ruang kebebasan lebih besar itu harus disertai rasa tanggungjawab yang sewajarnya.

Katanya setiap kebebasan yang dimahukan harus disemai dengan nilai baik dan diiringi integriti tinggi.

“Kebebasan itu seperti kemerdekaan, amat bernilai. Jika ia tidak diisi dengan nilai serta adab yang baik, kebebasan itu menjadi kosong dan tidak bermakna ataupun membawa erti yang besar,” katanya.

Dr Mahathir berkata mekanisme ‘syura’ atau perbincangan bersama menjadi pendekatan terbaik yang diambil kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa dapat didengari melalui konsep bermusyawarah.

Kerajaan, katanya percaya bahawa persoalan umum yang membabitkan pelbagai pihak tidak wajar diputuskan oleh beberapa orang individu sahaja.

Justeru, Dr Mahathir berkata keterbukaan kerajaan dalam menerima cadangan dan mendengar suara mahasiswa hari ini merupakan peluang bagi mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam sistem pentadbiran negara.

“Ini kerana, kerajaan percaya bahawa mahasiswa adalah pelapis yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi untuk mengemudi negara pada masa akan datang.

-BERNAMA


Pengarang :