Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersama Joko Widodo semasa sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi Presiden Indonesia ke Malaysiapada 8 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PM, isteri hadir majlis pelantikan presiden Indonesia esok

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan kerja ke Jakarta, Indonesia esok untuk menghadiri Majlis Pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia bagi penggal 2019 – 2024 di Majlis Permusyawaratan Rakyat.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri hari ini, Dr Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta para pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Lawatan ini melambangkan keakraban serta keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, dan akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi jalinan persahabatan di antara kedua-dua negara yang telah lama terbina.

Di majlis itu Joko Widodo, yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Jokowi, akan mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden republik itu sementara Ma’ruf Amin pula sebagai naib presiden.

– BERNAMA


Pengarang :