Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Kerjasama Malaysia-ASEAN tampung impak perang perdagangan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Malaysia kini berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan jiran ASEANnya bagi menampung impak perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perang dua ekonomi terbesar dunia itu boleh melemahkan sistem perdagangan, justeru perniagaan perlu dirancang dengan baik bagi mengelak gangguan.

“Kita perlu bangunkan kapasiti dengan membangunkan daya saing dan syarikat bertaraf dunia kita sendiri yang mampu menyaingi pesaing.

“Satu cara untuk mencapainya adalah dengan mengenal pasti aset dan keupayaan kita untuk memanfaatkan teknologi baharu, serta meningkatkan kualiti sumber manusia,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis, di sini hari ini.

Beliau berkata perang perdagangan besar-besaran antara AS-China mungkin menunjukkan petanda yang lebih buruk yang sedang melanda dua kuasa terbesar dunia itu, yang boleh menjurus kepada satu lagi Perang Dingin.

Dr Mahathir berkata walaupun persaingan geostrategik bukan penyebab pertikaian perdagangan mereka sekarang, namun ia adalah akibat yang akan berlaku.

“Ini sangat mengecewakan apabila perdagangan yang sepatutya bebas, kini terhad secara meluas.

“Malangnya, kita terperangkap. Dari segi ekonomi, kita terlibat dalam kedua-dua pasaran, dan secara fizikal kita juga terperangkap dari segi geografi. Ada kemungkinan kita juga akan menjadi sasaran sekatan,” katanya.

Mengulas berhubung cabaran dalaman, beliau berkata, isu paling besar yang dihadapi kerajaan sekarang ialah membersihkan masalah yang ditinggalkan rejim kleptokratik terdahulu dan membangunkan semula negara.

Dr Mahathir berkata untuk pulih dan berkembang, jentera kerajaan mesti dipulihkan dan menjadikannya cekap menerusi amalan sifar rasuah.

-BERNAMA


Pengarang :