Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga, kiri) melancarkan MY INDUSTRIES 2019 di Universiti SEGi pada 14 Oktober 2019. – Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: Ubah strategi pastikan perniagaan kekal berdaya saing

PETALING JAYA, 14 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perniagaan Malaysia perlu mengubah strategi mereka termasuk menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan untuk kekal berdaya saing

Beliau berkata, kadang-kadang perniagaan terlalu berorientasikan operasi untuk menyediakan keputusan dan sering terlalu konservatif untuk membuat pempelbagaian perniagaan dan pembangunan produk.

“Mentaliti dan budaya perniagaan seumpama ini perlu berubah. Perniagaan Malaysia perlu mula lebih serius untuk banyak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan bagi meningkat dan menaik taraf pembangunan produk dan perkhidmatan, proses perniagaan dan teknologi bersepadu mereka,” kata Dr Mahathir.

“Kita perlu mengubah strategi kita daripada menjadi peniaga dan pengguna teknologi kepada menjadi pencipta teknologi,” katanya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Industri 4.0: Revolusi Global Ke Arah Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti (MYINDUSTRIES 2019), di sini, hari ini.

Industri 4.0 merujuk kepada fasa baharu dalam Revolusi Perindustrian yang banyak menumpukan kepada kesalinghubungan, automasi, pembelajaran mesin dan data masa nyata.

Dr Mahathir menegaskan Industri 4.0 akan mentransformasikan pasaran buruh menjadi persekitaran kerja yang bertumpu kepada kemahiran berkaitan dengan penyatuan teknologi operasi dan teknologi maklumat, analisis data, pemahaman proses dan keupayaan untuk bekerja dengan teknologi disruptif.

“Teknologi seperti internet of things (Internet pelbagai benda), robotik canggih, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan aditif adalah faktor penyumbang untuk menjana peningkatan dalam produktiviti bersih,” katanya.

Perdana Menteri berkata dasar kebangsaan bagi Industri 4.0 atau Industry4WRD yang dilancarkan setahun lalu adalah respons Malaysia kepada Industri 4.0.

“Dengan adanya dasar itu, kita menyasar untuk memacu Malaysia ke arah menjadi hab Industri 4.0 di Asia Tenggara – satu peluang baik bagi kita untuk mendapatkan kembali status kita sebagai Harimau Asia,” katanya.

Beliau berkata, negara perlu mengambil serius transformasi Industri 4.0 untuk kekal berdaya saing dan relevan di peringkat antarabangsa.

– BERNAMA


Pengarang :