AGENDANASIONAL

Polis buru 21 bekas peguam terlibat kes pecah amanah

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Polis sedang memburu 21 bekas peguam yang dikehendaki bagi membantu siasatan 39 kes penipuan dan pecah amanah sejak tujuh tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad.

Enam belas daripada mereka dipercayai masih berada di negara ini manakala yang lain telah melarikan diri ke luar negara.

Beliau berkata, Majlis Peguam telah mengeluarkan mereka daripada senarai pengamal undang-undang kerana didapati terlibat dalam kes penipuan dan pecah amanah membabitkan nilai RM30.4 juta keseluruhannya.

“Lapan peguam perlu dituduh di mahkamah manakala 13 lagi diburu untuk membantu siasatan sebelum kertas siasatan dikemukakan ke Timbalan Pendakwa Raya,” katanya pada sidang media JSJK di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berusia 34 hingga 69 tahun itu disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan antaranya menyalah guna wang pelanggan dan terlibat dalam pengendalian kes-kes yang tidak wujud.

Seorang daripada peguam yang diburu itu dipercayai pernah terbabit dalam kes urusan pembelian tanah kelapa sawit seorang pemimpin kanan parti politik di Sabah tahun lepas, katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, polis memburu 117 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang atau “Ah Long” dengan 50 daripada mereka telah dikenal pasti untuk dituduh di mahkamah.

“Seramai 63 orang pula diperlukan untuk melengkapkan siasatan bagi tujuan pertuduhan manakala empat lagi sudah mempunyai arahan tuduh dan kami dalam proses mendapatkan waran tangkap,” katanya sambil menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kes berkaitan ‘Ah long’ yang masih berleluasa.

Beliau berkata, polis tidak pernah berhenti dalam menangani kes pinjaman wang secara haram itu dengan menjalankan pelbagai operasi termasuk Ops Vulture yang menyaksikan 199 premis pinjaman wang tidak berlesen dan 536 premis pinjaman berlesen diperiksa.

“Dalam serbuan itu kami menahan 221 orang yang mengendalikan pinjaman tidak berlesen,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :