Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis hantar kertas siasatan 12 individu LTTE ke Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung penahanan 12 individu disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke pejabat Peguam Negara, Rabu lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah selesai melakukan siasatan dan kini sedang menunggu keputusan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Terpulang kepada Peguam Negara untuk memaklumkan sama ada bukti itu mencukupi atau tidak,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini.

Mengulas lanjut mengenai kebenaran melawat 12 suspek itu sempena perayaan Deepavali, Ayob Khan berkata, pihak keluarga individu terlibat diberikan hak untuk melawat tahanan pada hari ini.

“Seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sempena Deepavali pertemuan ini telah diaturkan. Keluarga juga dibenarkan membawa makanan untuk mereka.

“Tiada halangan untuk melawat dengan kebenaran melawat setiap keluarga selama dua jam, dan waktu lawatan diperuntukkan dari 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek berada dalam keadaan terkawal dengan kesihatan mereka sentiasa dipantau.

“Ada yang dilaporkan mengalami gastrik serta sakit perut namun perkara itu perkara biasa dan kami tetap memantau mereka. Tidak perlu risau kerana khidmat doktor ada disediakan di sini,” katanya.

Sebelum ini, 12 individu termasuk termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dikaitkan dengan LTTE.

– BERNAMA


Pengarang :