AGENDA JENAYAH

Polis tumpaskan sindiket curi kenderaan mewah di Selangor

SHAH ALAM, 9 OKT: Polis Selangor menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah yang bergiat aktif di negeri ini dengan penahanan lapan suspek dalam beberapa siri serbuan pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan dan dua wanita warga asing itu ditahan di sekitar negeri ini dalam Op Lejang Mewah TODA yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata sindiket berkenaan disyaki aktif mencuri kenderaan mewah sejak tiga bulan lalu dan perbuatan itu dipercayai hanya mengambil masa kira-kira lima minit dengan bantuan alatan canggih seperti ‘smartkey programmer’ yang dibeli secara dalam talian.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini akan menjual kereta mewah yang mereka curi ke luar negara kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi selain harganya yang mahal.

“Disebabkan itu, pemilik kereta mewah dinasihatkan supaya sentiasa mengenakan kunci tambahan pada kenderaan bagi mengurangkan ia dijadikan sasaran untuk dicuri.

“Kunci tambahan ini akan menyebabkan sindiket terpaksa mengambil masa lebih lama dan mereka pasti tidak mahu mengambil risiko untuk mengelakkan kegiatan itu disedari orang ramai,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Noor Azam berkata dengan tertumpasnya sindiket itu, polis turut merampas lapan kenderaan pelbagai guna mewah pelbagai jenama, 29 unit alat kawalan jauh, 25 keping cukai jalan palsu, satu unit ‘signal jammer’, satu unit ‘smartkey programmer’ dan alatan dipercayai digunakan untuk mencuri kereta.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan berkenaan dianggarkan sekitar RM2 juta dan kesemua suspek berumur 36 hingga 52 tahun itu masih direman untuk siasatan lanjut.

Katanya, sejak awal tahun ini, polis Selangor menerima 80 laporan kecurian kenderaan mewah dan susulan itu, tiga sindiket berjaya ditumpaskan dengan penahanan 15 individu selain merampas 12 kenderaan mewah pelbagai jenama.

-BERNAMA


Pengarang :