AGENDANASIONAL

PRAB beroperasi sepenuhnya dalam RMK-12

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) dijangka beroperasi sepenuhnya dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata, program itu akan memfokuskan 41 lembangan sungai di seluruh negara dalam usaha kerajaan memantau status semasa curahan hujan dan aras sungai bagi menghadapi musibah banjir.

“PRAB merupakan program jangka panjang dan menyeluruh untuk tempoh tujuh tahun bermula 2015 hingga 2022.

“Apabila siap nanti pihak terbabit seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri-negeri akan dapat melaksana simulasi banjir tujuh hari lebih awal, serta dapat mengeluarkan amaran banjir dua hari lebih awal daripada jangkaan banjir yang akan berlaku,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara (PH-Segamat) mengenai persediaan kementerian dalam menghadapi kemungkinan kejadian banjir yang akan berlaku di seluruh negara tidak lama lagi.

Menjelas lanjut, Dr Xavier Jayakumar berkata PRAB merangkumi empat komponen utama iaitu pengesanan, Pusat Data Ramalan, Pemodelan Ramalan dan Hebahan Amaran.

Untuk rekod, PRAB Fasa 1 melibatkan tiga lembangan sungai iaitu Sungai Kelantan, Terengganu dan Pahang, yang mana ia masih sedang diuji jalan, pengemaskinian data-data hidrologi dan data-data berkaitan bagi kegunaan model-model ramalan yang sedang dibangunkan.

Fasa 2 pula melibatkan 38 sungai di seluruh negara dan juga sedang melaksana kerja-kerja kecil Kecemasan Luar Jangka bagi menaik taraf sistem saliran serta struktur-struktur saliran selain ban pantai bagi mengurangkan kejadian banjir kilat dan banjir akibat limpahan air laut.

Katanya sebanyak RM22 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkenaan di seluruh negara tahun ini.

-BERNAMA


Pengarang :