Zuraida Kamaruddin (dua, kiri) diiringi Datuk Yahaya Madis (kiri) disambut oleh barisan anggota Bomba dan Penyelamat sempena lawatannya ke Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRK Tanjung Piai: PAKATAN bakal guna pengalaman Norma

PONTIAN, 14 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menggunakan pengalaman ibu mantan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, dalam mengatur gerak kerja jentera wanita bagi memastikan kemenangan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu.

Ketua Wanita PAKATAN, Zuraida Kamarudin berkata beliau sempat bertemu ibu Allahyarham, Norma Mohamed, 67, yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, semalam.

“Beliau (Norma) juga ada berkongsikan pandangan berhubung gerak kerja PRK. Beliau bukan calang-calang kerana adalah bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai selama 30 tahun.

“Beliau berpengalaman sebagai penggerak dan menjalankan tugas pilihan raya bagi sayap Wanita. Jadi, beliau akan mainkan peranan untuk kerusi Parlimen Tanjung Piai dikekalkan kemenangan kepada PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini, yang turut dihadiri Pengarah Bomba Johor Datuk Yahaya Madis.

Ditanya jika Norma ataupun terdapat wanita lain bakal dicalonkan bertanding PRK itu, Zuraida yang juga Naib Presiden KEADILAN mengalu-alukannya kerana Johor memerlukan ramai wakil rakyat wanita dari PAKATAN.

“Kerusi ini (Parlimen Tanjung Piai) milik Bersatu. Saya serahkan kepada Bersatu untuk mereka memikirkan calon yang layak.

“Kalau ada ruang dan peluang, saya alukan (calon wanita) dan akan jadi faktor tambahan untuk kemenangan,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

-BERNAMA


Pengarang :