Amirudin Shari (tengah) bersama tetamu kehormat ketika Persidangan Perdagangan ASEAN Selangor sempena Persidangan Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2019 kali ke-3 pada 10 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Projek pelaburan Banting, Kuala Langat catat RM9 bilion

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Walaupun dianggap sebagai kawasan kurang maju di Selangor, namun Banting dan Kuala Langat mencatatkan nilai projek pelaburan bagi sektor perkilangan dengan nilai RM9 bilion pada tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, apa yang lebih membanggakan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia menunjukkan nilai pelaburan itu adalah yang tertinggi dicatatkan berbanding daerah lain di Selangor.

“Salah satu inisiatif utama kita dalam beberapa tahun kebelakangan ini ialah mengklusterkan perniagaan dan aktiviti ekonomi dalam usaha jitu bagi mengagihkan kemakmuran negeri ke semua daerah melebihi negeri jiran yang maju.

“Ini benar-benar menepati falsafah ‘semua untuk satu, satu untuk semua’ dan saya percaya falsafah ini boleh diterap serta dilaksanakan dalam konteks komuniti ekonomi ASEAN kerana ia sebahagian budaya juga indentiti Selangor dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor sempena Persidangan Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2019 Ketiga di Pusat Perdagangan Antarabangsa & Pameran Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Ketika menyentuh persidangan dan pameran empat hari itu, Amirudin berkata, Selangor hari ini semakin berkembang menjadi hab ekonomi yang menarik.

Beliau berkata, perhimpunan komuniti perniagaan terbesar itu membolehkan pelbagai kolaborasi perniagaan dan projek dimeterai antara negara-negara Asia Tenggara dengan menjadikan Selangor sebagai titik pertemuan terbaik.

Katanya, Selangor juga mampu menawarkan infrastruktur mengkagumkan, tenaga kerja berkualiti dan pelbagai inisiatif ditawarkan Kerajaan Negeri.


Pengarang :