AGENDA GLOBAL

Protes anti-kerajaan di Iraq memuncak

BAGHDAD, 3 OKT: Penunjuk perasaan anti-kerajaan berhimpun di jalan di seluruh Iraq pada Rabu, termasuk di ibu kota Baghdad, menuntut pemerintah mewujudkan keadaan hidup lebih baik dan menghapuskan rasuah, lapor agensi berita Anadolu.

Golongan wanita turut menyertai protes yang masuk hari kedua itu, menyaksikan pasukan keselamatan meningkatkan kawalan keselamatan dengan mengepung beberapa dataran dan jalan di Baghdad.

Majlis Keselamatan Negara mengadakan mesyuarat tergempar dengan Perdana Menteri Adil Abdul-Mahdi untuk membincangkan langkah bagi mengatasi keadaan itu.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan di wilayah selatan Dhi Qar berkata sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan terbunuh di wilayah itu.

Menurut pegawai itu yang enggan namanya disiarkan seorang anggota polis turut dilaporkan terbunuh.

Korban pada Rabu itu menjadikan jumlah kematian sejak protes bermula adalah seramai 10 orang dengan puluhan lagi cedera.

Sumber keselamatan berkata penunjuk perasaan bertindak membakar beberapa bangunan kerajaan di wilayah Dhi Qar dan Najaf.

Pihak kerajaan telah menyekat perkhidmatan internet di beberapa wilayah.

“Perkhidmatan internet disekat petang ini,” kata Hassan Rahm, seorang aktivis yang menyertai bantahan di Baghdad.

Penunjuk perasaan juga membakar beberapa bangunan kerajaan di daerah yang bersekutu dengan wilayah di selatan Iraq.

Pegawai tentera Hakim al-Asadi berkata perintah berkurung diisytiharkan di wilayah selatan Iraq tanpa memberi butiran lanjut.

Kerajaan Iraq dituduh gagal menamatkan nepotisme dan rasuah.

Menurut Bank Dunia, pengangguran belia di Iraq mencecah sekitar 25 peratus. Iraq juga menduduki tempat ke-12 negara paling banyak mengamalkan rasuah.

-BERNAMA


Pengarang :