PBTSELANGOR

‘Puchong’, anjing tular hidup dengan baik

SHAH ALAM, 10 OKT: Anjing yang sebelum ini tular melalui rakaman video ketika ditangkap penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dipercayai hidup dalam keadaan selamat dan sihat.

Portal sjecho.com melaporkan, anjing jalanan yang dinamakan ‘Puchong’ itu dijaga dengan selamat oleh kakitangan MPSJ di pusat jagaan milik majlis berkenaan.

Katanya, doktor veterinar turut melawat anjing itu untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Puchong yang sebelum ini ditangkap oleh kakitangan MPSJ tidak mempunyai sebarang luka dan diberi makan serta minum dengan baik.

“Difahamkan anjing itu juga sedia untuk diambil sebagai haiwan angkat,” kata

Pada 5 Oktober lalu, tular rakaman video berdurasi 4 minit 13 saat itu, petugas MPSJ sedang menangkap seekor anjing dan cuba dihalang oleh beberapa individu.

Perkara itu turut mencuri perhatian Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang menzahirkan rasa kesal baginda terhadap insiden berkenaan.

Baginda sebagai Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor turut kecewa dan sedih kerana kejadian kejam itu masih berlaku dalam masyarakat walaupun banyak kempen kesedaran sudah dilaksanakan membabitkan haiwan terbiar.

Baginda turut bertitah supaya prosedur penangkapan haiwan jalanan yang ditetapkan dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan dan keselamatan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang terbabit.


Pengarang :