Selangorkini
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Putrajaya anjur hari bersemuka rakyat setiap Sabtu

PUTRAJAYA, 5 OKT: Buat julung kalinya, 23 kementerian dan 101 agensi kerajaan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini membuka pintu kepada orang ramai pada hari Sabtu bagi menyampaikan perkhidmatan secara bersemuka dan terbuka kepada rakyat.

Bertemakan “Sehari Bersama Rakyat, Menyediakan 1001 Perkhidmatan”, program yang diadakan bersempena Hari Terbuka Putrajaya 2019 bermula 9 pagi hingga 6 petang itu menawarkan lebih 200 perkhidmatan di lobi kementerian dan agensi terlibat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, semua kementerian dan agensi kerajaan serta rakyat hendaklah mengambil peluang itu dengan mendayaupayakan usaha terbaik bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat yang cemerlang dan berkesan.

“Saya percaya dengan komitmen dan kesungguhan kita semua menggalas amanah, perkhidmatan awam dan rakyat akan saling melengkapi dan saling mengimbangi ke arah keperluan rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya semasa merasmikan Hari Terbuka Putrajaya dan Karnival Putrajaya 2019, di sini, hari ini.

Dianjurkan bersama oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Perbadanan Putrajaya (PPj), antara perkhidmatan yang disediakan pada Hari Terbuka Putrajaya adalah diskaun saman trafik, pemasangan Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) percuma, pemeriksaan Unit Bergerak (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), karnival kerjaya, semakan wang tidak dituntut, urusan pencen dan gimnasium percuma.

Selain itu, antara segmen menarik yang lain adalah Pameran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Putrajaya Animal Lovers Festival.

Mengenai Karnival Putrajaya 2019, Khalid berkata, program yang turut mendapat kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) itu diadakan bertujuan mengukuhkan interaksi dan integrasi sosial serta hubungan baik antara PPj dengan komuniti Putrajaya.

Khalid berkata, MPPWP memainkan peranan penting, selari dengan objektif penubuhannya sebagai satu daripada mekanisme penghubung antara kerajaan dan komuniti setempat.

“Kerjasama terbaik MPPWP ini dapat dilihat daripada usaha bersungguh-sungguh menjayakan pelbagai aktiviti seperti street soccer, street netball, kayuhan sejahtera dan Treasure Hunt Berbasikal,” katanya.

Secara keseluruhannya, Khalid berkata, 37 acara ditawarkan sepanjang tiga hari penganjuran Karnival Putrajaya bermula semalam hingga esok, antaranya Tazkirah Muzikal, persembahan artis jemputan, Bazar Usahawan Putrajaya, pencarian bakat muda dalam bidang kulinari, seni tari dan nyanyian serta pertandingan tarian antara sekolah Putrajaya.

– BERNAMA


Pengarang :