Tengku Amir Shah berkenan menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada anak yatim dalam Program Kembali ke Sekolah anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berlangsung di Setia Alam, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Raja Muda Selangor santuni anak-anak yatim di SCCC

OLEH ALIFF HAIKAL

SETIA ALAM, 26 OKT: Sebanyak 15 buah rumah kebajikan anak yatim menerima dana berjumlah RM561,000 daripada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj.

Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakhtiar Hussin berkata, dana tersebut diberikan kepada anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE melalui peruntukan Asnaf Fisabilillah Lembaga Zakat Selangor.

“Peruntukan yang diterima oleh rumah kebajikan ini akan digunakan bagi menampung kos operasi dan pentadbiran selain program yang akan dijalankan.

“Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) juga memperuntukkan sumbangan persekolahan sebanyak RM120,000 melibatkan 200 anak yatim berbentuk kasut, stoking, pakaian sekolah dan alat tulis,” katanya.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bergambar bersama peserta Program Kembali ke Sekolah anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berlangsung di Setia Alam, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Program ‘Back To School 2020’ dan Penyerahan Sumbangan Dana Kepada Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim bertempat di Setia City Convention Centre (SCCC), di sini, hari ini.

Program dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) bersama YIDE ini membekalkan keperluan seperti pakaian sekolah yang dijahit sendiri oleh golongan asnaf Lembaga Zakat Selangor yang diberikan latihan oleh TERAS.

Bakhtiar berkata, program ‘Back To School’ ini sudah bermula sejak tahun 2017 bersama perintis projek Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

“Selain memfokuskan bantuan sumbangan hari raya melibatkan seramai 8,459 orang anak yatim yang meliputi sembilan daerah, YIDE juga mengambil inisiatif untuk menyalurkan bantuan persekolahan kepada rumah kebajikan anak yatim,” katanya.

Terdahulu, DYTM Raja Muda Selangor turut memperkenan Replika Kenderaan Isuzu D-Max 4×4 diserahkan kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif CSR, Hishammudin Hasan berjumlah RM134,689 bagi memudahkan aktiviti kebajikan YIDE.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Emran Kadir dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Selangor, Tamyes Wahid.


Pengarang :