AGENDA NASIONAL

Ramalan Kelantan, Terengganu dilanda banjir bulan depan

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kelantan, Terengganu dan utara Semenanjung dijangka dilanda banjir bulan depan, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor pula diramalkan mengalami banjir pada Disember manakala Johor, Pahang dan barat Sarawak pada Januari 2020 serta barat Sarawak pada Februari 2020.

Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat di Putrajaya hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Nadma berhubung mesyuarat itu, Jabatan Meteorologi meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) akan bertiup bermula hujung Oktober tahun ini hingga Mac tahun depan dengan tahap banjir dijangka hampir sama dengan keadaan yang berlaku semasa tahun 2016 dan 2017.

Sehubungan itu, timbalan perdana menteri telah mengarahkan agensi di semua peringkat daerah, negeri dan Persekutuan untuk memastikan persediaan sumber manusia, aset, pusat pemindahan sementara, depoh, pangkalan hadapan dan bekalan sokongan sentiasa berada pada tahap yang optimum agar tindak balas sepanjang musim itu berjalan lancar.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat itu turut memutuskan supaya cuti pegawai dan anggota yang terlibat dalam pengurusan bencana dibekukan mulai November 2019 hingga Februari 2020 melibatkan pegawai agensi pengurusan bencana, pegawai pejabat daerah dan negeri, anggota polis, tentera, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Bagaimanapun, kelonggaran terhadap pembekuan cuti ini tertakluk kepada budi bicara Ketua Jabatan masing-masing.

Secara keseluruhannya, 80,672 pegawai dan anggota daripada semua agensi yang terlibat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya.

Mereka dibantu 6,490 aset serta jentera seperti bot, lori dan ambulans serta 28,552 buah khemah kubikel untuk kegunaan pusat-pusat pemindahan selain Kementerian Kesihatan juga berada dalam keadaan bersiap siaga daripada aspek kemudahan kesihatan.

Untuk musim tengkujuh kali ini, kerajaan juga telah memperuntukan sebanyak RM4 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi perbelanjaan operasi bencana dengan RM100,000 akan diagihkan kepada setiap agensi terbabit.

Pada masa yang sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengatur gerak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir yang kini berjumlah 5,482 bagi menampung kapisiti seramai 1,626,368 mangsa.

Sejumlah 6,044 pegawai, 165 kaunselor, 942 Pasukan Sokongan Psikologi (PST) dan 11,559 sukarelawan JKM akan digerakkan bila perlu dan semua depot dan stor di peringkat negeri serta daerah juga diarah untuk selesai membuat penambahan stok sebelum bermulanya MTL.

Terdapat tujuh Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 162 stor bencana negeri, daerah, mini depot kontena dan 528 pangkalan hadapan yang bersedia untuk menyampaikan perkhidmatan.

Nadma juga akan meningkatkan sistem amaran bencana iaitu penyampaian mesej termasuk melalui media sosial kepada komuniti yang berisiko tinggi berdepan bencana itu.

– BERNAMA


Pengarang :