AGENDANASIONAL

Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah Kewangan dibentang

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 di Parlimen bagi tujuan menubuhkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong, di hadapan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Yusof.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan kali ini, yang berlangsung sehingga 5 Dis.

RUU tersebut menyatakan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional tersebut mempunyai fungsi melaksanakan aktiviti berkaitan dengan pencegahan jenayah kewangan.

Pusat itu akan menyelaras dan bekerjasama dalam operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasa dalam perkara berhubung dengan jenayah kewangan​​​​​​ dan menasihati agensi penguatkuasa dalam perkara berkaitan.

Selain itu, ia juga akan menubuhkan, mentadbir dan menyenggara satu sistem data berpusat berhubung dengan jenayah kewangan bersepadu dan menghantar maklumat dalam sistem data berpusat kepada entiti kerajaan atau agensi penguatkuasa lain.

-BERNAMA


Pengarang :