BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rantaian E-Bekalan Digital Selangor dilancar esok

SHAH ALAM, 2 OKT: Peluang untuk usahawan tempatan melebarkan sayap perniagaan ke peringkat lebih tinggi terbuka luas melalui pelaksanaan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) yang bakal dilancarkan, esok.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, rantaian bekalan produk perniagaan secara elektronik itu akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, inisiatif berkenaan dijalankan melalui Pemerbadanan Menteri Besar dengan kerjasama erat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, KOHIJRAH, Smart Selangor Delivery Unit dan MMAG Holdings Berhad.

“Kita akan memulakan usaha untuk memasarkan produk segar seperti ikan dan sayur-sayuran atau apa sahaja produk yang selama ini tidak boleh dihantar jauh memandangkan tiada syarikat logistik yang boleh membuat penghantaran ke sesebuah tempat kerana memerlukan lori yang ada sejuk beku.

“Peluang ini besar kerana kita sudah menyediakan ekosistemnya (rantaian bekalan produk perniagaan) dan saya berharap produk dari kampung bukan sahaja boleh dinikmati masyarakat Selangor, tetapi mampu ke luar negeri termasuk kemungkinan ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) peringkat Daerah Kuala Langat 2019, di Lapangan Pasaraya Giant Banting, di sini, baru-baru ini.

Rodziah berkata, pihaknya optimis produk segar dari kampung dapat diketengahkan ke seluruh negara walaupun terdapat beberapa kekangan yang perlu dihadapi.

“Cabaran itu termasuk keyakinan pengguna terhadap produk yang dipasarkan peniaga dan perlu memastikan bekalan mencukupi bagi memenuhi permintaan pelanggan. Contoh mudahnya ialah perkhidmatan penghantaran makanan ‘grab food’ dan ‘food panda’,” katanya.

Pada masa sama, Rodziah menyarankan usahawan di negeri itu supaya bijak mengambil peluang untuk terus meningkatkan perniagaan mereka dari semasa ke semasa.

“Jika dilihat sudah ramai orang luar menggemari produk yang dihasilkan usahawan tempatan kita, namun mereka (usahawan) masih tidak mampu untuk membuat pengeluaran tinggi.

“Saya mencadangkan usahawan supaya mengunjungi mana-mana kaunter yang menawarkan bantuan seperti Dana Usahawan Mikro Selangor dan Majlis Amanah Rakyat untuk mendapatkan khidmat bimbingan yang akhirnya dapat membuat pengeluaran tinggi,” katanya.


Pengarang :