Muhammad Yazurin Sallij, Michelle Ng Mei Sze dan Ku Jamil Zakaria pada majlis Pelancaran Perkhidmatan Percubaan Bas Perantara Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan T792, di Hab Stesen USJ 7, Subang Jaya pada 14 Oktober 2019.
AGENDANASIONAL

Rapid Bus sambut baik hasrat kerajaan sedia 500 bas elektrik

SUBANG JAYA, 14 OKT: Penyedia perkhidmatan bas awam, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menyambut baik hasrat kerajaan untuk menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz di bandar terpilih seluruh negara menerusi Belanjawan 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yazurin Sallij berkata, pihaknya sebelum ini pernah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berhubung perkhidmatan bas elektrik di negara ini.

“Kementerian Kewangan ada meminta data daripada pihak kami dan buat masa ini terdapat 15 bas elektrik yang diguna untuk Bas Rapid Transit (BRT) termasuk bas PJ City.

“Sebagai pengendali bas, kami berharap peruntukan itu dapat disalurkan kerana dengan adanya tambahan bas ini kita mahu (bas elektrik) memasuki ke kawasan taman perumahan. Kami percaya dapat memanfaatkan peruntukan itu sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Perkhidmatan Percubaan Bas Perantara Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan T792, di Hab Stesen USJ 7, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ mengumumkan peruntukan kos sebanyak RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar terpilih seluruh negara.

Katanya, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau.


Pengarang :